Sunday, November 14, 2010

5 Petua Mengekalkan Sarung Tangan Sofbol Tahan Lama

Terdapat beberapa sebab mengapa menjaga sarung tangan sofbol anda sangat penting?

Pertamanya, sarung tangan membantu anda menangkap atau menghentikan lebih banyak bola untuk anda jika dijaga dengan baik.  Keduanya, sarung tangan sofbol harganya mahal dan jika dijaga dengan baik, anda tidak perlu menggantikannya dengan yang baru.  Ketiganya, menjaga sarung tangan sofbol menunjukkan hormat, hargai dan bangga dengan penglibatan anda dalam permainan sofbol, alat-alatan dan apa yang anda buat.

Di sini, terdapat lima panduan untuk mengekalkan sarung tangan sofbol anda tahan lama untuk terus digunakan, iaitu:

1.  Jangan duduk di atas sarung tangan sofbol anda.  Hal ini seharusnya tidak dilakukan.  Jangan anda atau sesiapapun duduk di atas sarung tangan anda atau sesiapapun.

2.  Simpan sebiji bola sofbol dalam sarung tangan bila anda tidak menggunakannya.  Hal ini akan membantu mengelakkan sarung tangan terhempap dalam bentuk yang pelbagai dalam beg, kereta atau mana-mana anda letakkan bila tidak digunakan.

3.  Jangan baling sarung tangan atau campakkan ke lantai (terutamanya atas padang yang kotaor atau konkrit.

4.  Bersihkan sarung tangan anda – bersihkan dengan menggunakan sedikit sabun dan tuala lembab adalah lebih baik.

5.  Bila meletakkan sarung tangan anda atas tanah/lantai, pastikan poket sarung tangan anda menghala ke atas.

Thursday, November 4, 2010

Kemahiran Asas Sofbol 5: Pitching

Pitcher dan Catcher adalah merupakan tulang belakang kepada sesuatu pasukan.  Kejayaan sesuatu pasukan adalah bergantung kepada prestasi pitcher daripada mula hinggalah berakhirnya sesuatu perlawanan.  Oleh sebab itu, pasukan yang mempunyai pitcher yang baik dan handal dengan sokongan padu daripada pemain-pemain lain sudah tentu mempunyai peluang yang lebih untuk menang.
Oleh sebab yang demikian, pitcher hendaklah sentiasa menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap permainan serta mengambil masa yang lebih dalam melakukan latihan pitching serta bersungguh-sungguh pada setiap sesi latihan.
Gaya Pitching
Terdapat dua gaya pitching iaitu:
1.        Gaya Ayunan (Slingshot).
2.       Gaya Kipas angin (Windmill).
Gaya Kipas Angin (Windmill) adalah satu gaya yang biasa digunakan oleh kebanyakan pitcher.  Gaya ini lebih pantas kerana momentum terbentuk daripada lakaran yang lebih besar.
Cara Melakukan Pitching
Gaya Ayunan (Slingshot).
Cara gaya ini hampir sama dengan cara gaya kipas angin.  Perbezaan yang wujud hanyalah dalam bentuk ayunan tangan.  Gerakan badan selepas tangan dihayun adalah sama dengan cara gaya kipas angin (Windmill).
1.1   Berdiri dengan betul dan luruskan tangan yang memegang bola.
1.2   Tarik tangan yang memegang bola ke belakang sehingga melepasi paras bahu sambil melentikkan pergelangan tangan.
1.3   Langkah kaki kiri selangkah ke hadapan dan tarik kaki kanan sambil melakukan ayunan tangan yang memegang bola.  Kepirkan bola semasa melintasi sisi peha.
Gaya Kipas Angin (Windmill).
2.1   Sebelum melakukan pitching, pitcher dikehendaki mengasingkan tangan yang memegang bola dengan sarung tangan (glove) sebelum memasukkan bola ke dalam sarung tangan.
2.2   Kedua-dua belah kaki pitcher hendaklah memijak plet sambil membongkokkan sedikit badannya.
2.3   Langkah kaki kiri ke hadapan sambil menarik tangan yang memegang bola ke atas supaya dapat membuat satu bulatan besar.
2.4   Semasa tangan berada di atas, ia hendaklah dibengkokkan sambil memusingkan badan ke kanan sedikit.
2.5   Teruskan ayunan dan apabila tangan yang memegang bola melalui sisi peha pitcher hendaklah melepaskan bola tersebut.  Pada masa yang sama, pusingkan semula badan ke kanan.

Kemahiran Asas Sofbol 4: memadang (Pertahanan)

Dalam permainan sofbol, pasukan yang bertahan, dikenali sebagai pemadang yang terdiri daripada 9 orang pemain.  Pemadang mestilah berusaha mematikan tiga orang penyerang (pemukul) untuk membolehkan mereka mendapatkan giliran memukul.  Oleh sebab itu, setiap pemadang mestilah mempunyai kemahiran menangkap dan membaling bola dengan cepat dan tepat.
1.  Tugas pemadang:
                -  Pitcher              -  pitching bola dengan baik.
                                                -  membantu pemadang bes 2, 3 dan catcher jika bola melayang jauh.
                -  catcher             -  memberi panduan dan sokongan kepada pitcher.
                                                -  menangkap dengan kemas setiap pitching yang dibuat oleh pitcher.
-  menjadi benteng pertahanan terakhir untuk mematikan pelari daripada mendapatkan mata.
                -  pemadang bes 1           -  menerima semua balingan yang diarahkan ke bes 1.
                                                -  mengambil tindakan serta merta terhadap bola tampanan.
                                                -  member sokongan kepada catcher kepada bola balingan jauh.
                -  pemadang bes 2           -  bersedia untuk mematikan atau menyentuh (tag) pelari di bes 2.
                                                -  bersedia menerima balingan bola daripada pemadang luar.
                                                -  memberi sokongan kepada pemadang di bes 1 dan 3.
                -  pemadang bes 3           -  bersedia untuk mematikan atau menyentuh (tag) pelari di bes 3.
                                                -  membantu catcher mematikan pelari daripada mendapatkan mata.
                -  pemadang dekat          -  mematikan pelari dengan lemparan ke bes-bes.
                                                -  membantu catcher untuk mematikan pelari ke bes 3.
                                                -  membantu pemadang-pemadang lain dalam usaha mematikan pelari.
                -  pemadang luar (7,8 dan 9)        -  sentiasa bersedia untuk menangkap bola pukulan jauh.
                                                -  sentiasa berubah kedudukan mengikut kekuatan pemukul.
                                                -  bersedia menangkap bola melayang bagi mematikan pemukul.
                                                -  membantu pemadang bes untuk mematikan pelari.

Kemahiran Asas Sofbol 3: Larian Bes

Sofbol adalah satu permainan yang pantas dan merupakan pertandingan di antara kederasan berlari dan kelajuan pihak pemadang membaling.  Oleh sebab itu, tindakan dan gerakan semasa melakukan larian bes hendaklah pantas dan tepat.
1. Selepas melakukan pukulan, pemukul perlulah dengan pantas berlari ke bes pertama, kedua, ketiga dan plet rumah mengikut urutan dengan memijak setiap bes yang dilaluinya, selagi ia tidak dipaksa berhenti di salah satu bes atau plet rumah atau dimatikan atau disentuh (tagging).
2.  Pelari boleh terlajak dari bes pertama setelah memijaknya tetapi hendaklah terus berlari ke hadapan atau membelok ke kanan.  Jika pelari membelok ke arah kiri (ke arah bes kedua), ia dianggap sebagai melakukan cubaan untuk maju atau meneruskan larian ke bes kedua.  Pelari boleh disentuh (tag) oleh pemadang.
3.  Pelari di bes pertama, kedua dan ketiga boleh mara ke hadapan selepas balingan dilakukan (picth) iaitu sebaik sahaja boleh dikeluarkan daripada tangan pembaling (picther) dengan kemungkinan disentuh mati (tag).
4.  Semasa melakukan larian, pelari hendaklah menggunakan lorong tapak yang luasnya tiga kaki melainkan jika ia hendak mengelak dari bertembung dengan pemadang.
5.  Pelari yang tidak dipaksa berlari boleh berlari semula ke bes asalnya (bes sebelum ia melakukan larian) jika ia ragu-ragu untuk sampai ke bes hadapan.
6.  Pelari boleh mengelunsur (sliding) yang dibenarkan untuk sampai ke bes hadapan dan plet rumah atau kembali ke bes asalnya.
7.  Pelari yang sampai ke plet rumah diberi satu larian penuh (run) untuk pasukannya .  Penukaran giliran memukul untuk pasukan hanya boleh dibuat selepas tiga pemain Berjaya dimatikan.
8.  Satu ‘inning’ dikira apabila kedua-dua pasukan telah melakukan satu giliran memukul.
9.  Satu perlawanan akan ditamatkan selepas tujuh inning atau mengikut masa yang ditetapkan (biasanya 1 jam 20 minit).  Peraturan ini tertakluk kepada peraturan kejohanan pihak penganjur.

Kemahiran Asas Sofbol 2: Memukul

Di antara kemahiran-kemahiran dalam permainan sofbol, kemahiran memukul adalah salah satu kemahiran yang paling sukar dilakukan.  ‘Pitcher’ akan cuba membaling bola sederas mungkin agar bola yang dibaling gagal untuk dipukul oleh pemukul.
Bagi mengelakkan bola yang dipukul berjaya ditangkap oleh pemadang, pemukul haruslah melakukan pukulan sekuat mungkin ke dalam kawasan permainan dalam keadaan yang sukar untuk dicapai oleh pemadang.
Oleh yang demikian, kemahiran ini memerlukan latihan yang kerap bagi memastikan setiap pukulan yang dilakukan berkesan.  Kelemahan yang ketara bagi sesetengah pasukan ialah memberi latihan yang lebih kepada kemahiran memadang tetapi tidak kepada latihan kemahiran memukul.
Pemukul mestilah menumpukan perhatian kepada bola yang akan dibaling kerana balingan yang baik akan mencapai kelajuan 80 kmj.  Penglihatan yang baik serta kebolehan dan kepantasan bila, mana dan cara bola dibaling adalah penting.
1.  Persediaan Sebelum Memukul:
1.1.  Memegang ‘Bet’
-  Bet hendaklah dipegang dengan menggunakan kedua-dua belah tangan di mana jari memegang keliling pemegang bet.  Ruas-ruas jari hendaklah selari.  Genggaman hendaklah tidak terlalu ketat tetapi kukuh.
1.2  Gaya Dirian
-  Berdiri dengan kedua-dua kaki selari menghadap plet rumah.  Jarak bukaan kaki adalah mengikut jarak bahu.  Berat badan hendaklah diletakkan pada kedua-dua belah kaki.
2.  Langkah-langkah Memukul
2.1  Berdiri dengan betul dengan membawa tangan ke sisi muka.  Pandangan hendaklah ke arah pembaling bola.  Kedudukan bola hendaklah melebihi paras bahu.
2.2  Pergerakan pinggang hendaklah serentak dengan hayunan bet serta kaki depan digerakkan ke arah pembaling bola.
2.3  Bila kaki hadapan memijak tanah, pangkal peha hendaklah dipusingkan bagi mengimbangi hayunan serentak dengan itu bet dihayun ke arah bola.

Contoh T-Off bagi latih tubi pemukul dalam kemahiran memukul bola sofbol.

Wednesday, November 3, 2010

Kemahiran Asas Sofbol 1: Membaling dan Menangkap Bola

Membaling Bola

1.  Cara Menggenggam bola:

*   Bola digenggam dengan menggunakan tiga jari iaitu jari hantu, jari telunjuk dan ibu jari.
*   Jari manis dan jari kelingking hanya digunakan sebagai penampan bola.
*   Seboleh-bolehnya bola hendaklah tidak menyentuh tapak tangan.

2. Cara Melakukan Balingan:
*   Balingan yang baik mestilah menepati sasaran. Sasaran yang paling baik adalah di atas bahagian diafram dan di bahagian muka penerima bola.
*   Pembaling hendaklah berdiri dengan keadaan kaki yang bertentangan dengan tangan yang digunakan untuk membaling bola ke hadapan.
*   Lentikkan pergelangan tangan yang memegang bola ke belakang dengan siku berada separas dengan bahu ke arah belakang.

3.  Sentiasa membuat balingan, kepirkan (snap) bola dengan pantas. Berat badan hendaklah diubah ke kaki hadapan untuk mengimbang pergerakan tangan.

4.  Pergerakan membaling hendaklah diteruskan dengan ikut lajak selepas bola dibaling. Mata hendaklah memandang pergerakan bola ke sasaran.  (Fasa ini sangat penting untuk menentukan bola dibaling menuju tepat ke sasaran).

Menangkap Bola

Menangkap bola adalah merupakan satu kemahiran penting dalam permainan ini.  Pemadang hendaklah ingat bahawa bola yang akan ditangkap datangnya daripada berbagai keadaan dan arah yang berlainan seperti deras, perlahan, leret, tinggi dan melantun.

Seorang pemadang perlu ingat bahawa bola hendaklah ditangkap dalam poket sarung tangan (untuk mematikan pemukul).  Seorang pemadang tidak digalakkan menadahkan sarung tangan ke atas untuk menangkap bola kerana bola yang ditangkap boleh terlucut dan mencederakan muda dan badannya.

  1. Persediaan Menangkap Bola:  Pemadang hendaklah sentiasa bersedia dengan sarung tangan dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap latihan atau pertandingan.
*   Untuk menangkap bola yang melayang tinggi, pemadang yang berhampiran dengan bola hendaklah meneriak dengan terang bahawa dia akan menangkap bola tersebut).
*   Gunakan sarung tangan untuk menangkap bola dan pastikan ia selamat dengan menggunakan tangan melempar.  Lindungan tangan melempar tersebut akan menyelamatkan bola dari melantun keluar dan balingan dapat dilakukan dengan cepat.
*   Pemadang hendaklah membiasakan dirinya mengeluarkan dan membaling dengan cepat bola yang telah ditangkap.  Gerakan menangkap dan membaling adalah satu gerakan yang bersambungan.

  1. Cara menangkap bola:
*   Tangan yang memakai sarung tangan hendaklah sentiasa berada di depan badan. Semasa menangkap bola, pemadang mestilah menadah sarung tangan tepat ke arah bola, bagi tangkapan di atas pinggang.
*   Untuk menangkap bola pada paras pinggang, jari-jari sarung tangan mestilah berada di sisi pemain.
*   Jika bola yang dibaling menuju ke bahagian bawah pinggang, jari-jari sarung tangan mestilah diletakkan dan diarahkan ke bawah.
*   Untuk menangkap bola leret, jari-jari sarung tangan hendaklah diarahkan ke bawah hingga mencecah tanah.

Peralatan Sofbol

  • Glove - sarung tangan untuk semua pemain.
  • Mit - sarung tangan untuk 'catcher' dan pemadang bes pertama.
  • Bola - bola kulit untuk pertandingan/bola getah untuk latihan.
  • Pemukul/'Bet' - daripada logam.
  • Adang Muka - untuk 'catcher' dan pengadil tapak rumah.
  • Adang Dada - untuk 'catcher' dan pengadil tapak rumah.
  • Adang Kaki - untuk 'catcher' dan pengadil tapak rumah.
  • Adang Kerongkong - untuk 'catcher' dan pengadil plet.
  • Topi Memukul - untuk pemukul dan pelari bes.
  • Ball Guard - untuk semua pemain lelaki.
  • Plet Rumah
  • Plet Pitcher
  • Plet Pertama
  • Plet Kedua
  • Plet Ketiga

Sejarah Perkembangan Sofbol di Malaysia

Peringkat Awal - dimainkan sebagai satu sukan rekreasi oleh mubaligh-mubaligh Amerika (1939) di ACS Kampar, Perak.

Perang Dunia Kedua - permainan sofbol terhenti.  Tetapi tentera Jepun yang menggemari permainan ini telah meneruskannya dengan menggunakan bola tenis.

Pada tahun 1960 - Mr. Jack Robinson telah mengadakan klinik Sofbol di seluruh Tanah Melayu dalam usaha untuk menghidupkan semula permainan ini.

Berbagai usaha telah dilaksanakan untuk mempopularkan permainan ini termasuk memasukkannya ke dalam program MSSM namun masih tidak dapat sambutan yang mengalakkan dari beberapa buah negeri.

Pada akhir tahun 1960an, negeri Perak, Selangor dan Pulau Pinang telah mengambil inisiatif mempopularkan permainan ini antara tahun 1970 hingga 1973.

Pada tahun 1972, negeri Perak, Pulau Pinang dan Selangor telah mengadakan satu perjumpaan di Kediaman Menteri Besar Perak untuk menubuhkan Persatuan Sofbol Malaysia (SAM), di mana Dato' Sri Haji Mohd Isa, Menteri Besar Perak pada waktu itu sebagai pengerusi dan didaftarkan pada 16 Mac 1997.

Ogos 1973, Kejohanan Sofbol Kebangsaan yang pertama telah diadakan serentak dengan Kejohanan Sofbol Jemputan Perak di Ipoh, Perakk yang hanya disertai oleh pasukan lelaki dari tiga buah negeri iaitu Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Kemudian, beberapa buah negeri lain turut berminat menjadi anggota SAM termasuk RAAF Softball Association of Malaysia.

Oktober 1976, Kejohanan Sofbol ASEAN pertama telah diadakan di Kuala Lumpur dan telah disertai oleh lima buah pasukan.  Malaysia telah memperolehi tempat ketiga.

Pada tahun 1977, Malaysia telah menghantar pasukan Sofbol buat pertama kalinya ke luar negara dengan menyertai Kejohanan Sofbol ASEAN di Manila, Filipina.  Pada tahun tersebut, Kejohanan sofbol ASEAN untuk wanita yang pertama juga telah diadakan.

Pada tahun 1979, permainan sofbol telah diterima bagi pertama kali dimasukkan ke dalam sukan SEA.  Malaysia hanya menyertai acara lelaki sahaja dan berjaya menduduki tempat ketiga.

Pada tahun1982, pasukan Sofbol Wanita Malaysia telah menyertai Kejohanan Sofbol Wanita Dunia Kelima yang diadakan di Taipei.

Kini, permainan sofbol telah berkembang di seluruh tanah air.

Sumber:  Panduan Pelaksanaan Kokurikulum Sofbol, Jabatan Pelajaran Negeri Johor.