Thursday, November 4, 2010

Kemahiran Asas Sofbol 2: Memukul

Di antara kemahiran-kemahiran dalam permainan sofbol, kemahiran memukul adalah salah satu kemahiran yang paling sukar dilakukan.  ‘Pitcher’ akan cuba membaling bola sederas mungkin agar bola yang dibaling gagal untuk dipukul oleh pemukul.
Bagi mengelakkan bola yang dipukul berjaya ditangkap oleh pemadang, pemukul haruslah melakukan pukulan sekuat mungkin ke dalam kawasan permainan dalam keadaan yang sukar untuk dicapai oleh pemadang.
Oleh yang demikian, kemahiran ini memerlukan latihan yang kerap bagi memastikan setiap pukulan yang dilakukan berkesan.  Kelemahan yang ketara bagi sesetengah pasukan ialah memberi latihan yang lebih kepada kemahiran memadang tetapi tidak kepada latihan kemahiran memukul.
Pemukul mestilah menumpukan perhatian kepada bola yang akan dibaling kerana balingan yang baik akan mencapai kelajuan 80 kmj.  Penglihatan yang baik serta kebolehan dan kepantasan bila, mana dan cara bola dibaling adalah penting.
1.  Persediaan Sebelum Memukul:
1.1.  Memegang ‘Bet’
-  Bet hendaklah dipegang dengan menggunakan kedua-dua belah tangan di mana jari memegang keliling pemegang bet.  Ruas-ruas jari hendaklah selari.  Genggaman hendaklah tidak terlalu ketat tetapi kukuh.
1.2  Gaya Dirian
-  Berdiri dengan kedua-dua kaki selari menghadap plet rumah.  Jarak bukaan kaki adalah mengikut jarak bahu.  Berat badan hendaklah diletakkan pada kedua-dua belah kaki.
2.  Langkah-langkah Memukul
2.1  Berdiri dengan betul dengan membawa tangan ke sisi muka.  Pandangan hendaklah ke arah pembaling bola.  Kedudukan bola hendaklah melebihi paras bahu.
2.2  Pergerakan pinggang hendaklah serentak dengan hayunan bet serta kaki depan digerakkan ke arah pembaling bola.
2.3  Bila kaki hadapan memijak tanah, pangkal peha hendaklah dipusingkan bagi mengimbangi hayunan serentak dengan itu bet dihayun ke arah bola.

Contoh T-Off bagi latih tubi pemukul dalam kemahiran memukul bola sofbol.

No comments:

Post a Comment